Serangan di Perancis: Tindakbalas Diskriminasi Puluhan Tahun?
Perancis dikejutkan dengan dua serangan yang dilakukan oleh orang Islam baru-baru ini:
(i) Pembunuhan Samuel Paty, seorang guru yang menunjukkan kartun biadap terhadap Nabi Muhammad di dalam kelas.
(ii) Pembunuhan 3 orang di dalam gereja oleh orang yang bersenjatakan pisau.
Presiden Perancis terus menyalahkan agama Islam, mengatakan ‘Islam dalam krisis’ dan bertegas beliau akan menentang usaha ‘pemisah Islam’ dalam negara.
Tapi sesiapa yang mengamati sejarah Perancis tahu bahawa polisi kerajaan Perancis terhadap orang Islam yang menjadi punca kepada kekecewaan dan kemarahan mereka:
1) Perancis mengamalkan sekularism yang militan
Perancis satu negara sekular yang bukan sahaja mengamalkan ‘freedom of religion’ (kebebasan beragama), tetapi mengambil posisi ekstrem ‘freedom from religion’ (kebebasan dari agama).
Sekularisme yang militan ini bermaksud sebarang lambang agama pun tidak dibenarkan di kawasan awam, apatah lagi amalan agama. Mereka yang pernah berkunjung ke luar negara pasti tahu betapa sukarnya untuk solat di tempat awam di Perancis, berbanding di negara lain seperti UK.
2) Orang Islam dihalang daripada menunjukkan keagamaan mereka
Orang Islam, dengan amalan agama dan pemakaian yang berbeza, menjadi sasaran negara kerana dasar laicite (kebebasan agama) yang ekstrem ini.
Pemakaian tudung menjadi perdebatan hangat selama puluhan tahun, manakala tudung diharamkan di sekolah-sekolah dan penjawat awam.
Baru-baru ini, apabila seorang pelajar Maryam Pougetoux memasuki Parlimen dengan memakai tudung, ia mencetuskan perdebatan besar dengan beberapa pihak menuduh pemakaian itu sebagai bertentangan dengan prinsip-prinsip Perancis.
3) Orang Islam mengalami diskriminasi tempat tinggal dan pekerjaan

Orang Islam di Perancis, yang kebanyakannya berasal dari Afrika Utara, mengalami diskriminasi yang begitu ketara dalam ekonomi dan perumahan.
Orang Islam tinggal dalam ‘banlieue‘, iaitu projek-projek perumahan yang padat dan mengalami kadar kemiskinan yang tinggi. Kadar kemiskinan ini berpunca daripada diskriminasi dalam pekerjaan, dan hasilnya ‘banlieue’ juga mengalami kadar pengangguran yang tinggi.
Sesetengah pemerhati menyifatkan pemisahan dan diskriminasi terhadap orang Islam di Perancis sebagai ‘aparteid moden’, seperti aparteid di Afrika Selatan yang memisahkan orang kulit putih dan hitam.
Itulah antara punca keresahan dan kemarahan umat Islam yang bukan baru wujud, tetapi telah menghambat mereka selama puluhan tahun.
Diskriminasi ini tidak sepatutnya dibalas dengan keganasan, tetapi kerajaan Perancis perlu mengaku bahawa polisinya begitu menindas golongan agama dan masalah Perancis ialah dasarnya, bukan agama Islam.