PRN Melaka: Analisa Awal Hari Membuang Undi

Pada 20 November 2021 (hari ini) adalah hari membuang undi bagi para pengundi Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka. Setelah 2 minggu kesemua parti-parti dan calon-calon yang bertanding berkempen untuk menarik seramai mungkin pengundi untuk mengundi mereka, pastinya kemuncak debaran bakal berakhir pada esok malam sewaktu pengumuman calon yang bakal dinobatkan sebagai pemenang.

Calon-calon yang bertanding pada PRN Melaka kali ini, pecahan yang dapat dibuat untuk memudahkan pihak kalian melihat adalah seperti berikut;

  • 21 calon berusia 30 hingga 39 tahun (dimana 9 calon berudia 21 hingga 29 tahun),
  • 35 calon berusia 40 hingga 49 tahun,
  • 36 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun,
  • 11 calon berusia 60 tahun dan keatas.
  • Manakala calon tertua berusia 68 tahun dan calon termuda pula berusia 21 tahun.

Kajian lapangan telah dilakukan sebahagian DUN di dalam negeri Melaka pada kali ini. Tujuan ia dilakukan adalah untuk mengetahui “mood rakyat” terhadap sokongan parti mana yang dijangka kan akan memenangi PRN Melaka.

Sebanyak 12 DUN daripada 28 DUN di negeri Melaka telah menjadi pilihan kajian kami serta lengkap data para pengundi diambil dan sudah tentu ramai yang akan mempertikaikan bahawa hanya 12 DUN sahaja yang dikaji dan bukannya mewakili suara keseluruhan pengundi di 28 DUN yang terdapat di negeri Melaka. Namun, harus diingatkan bahawa kawasan-kawasan yang diambil sampling ini merupakan kawasan terdiri daripada kawasan DUN yang mempunyai data yang signifikan untuk diambil kira seperti bilangan populasi kaum, kedudukan kawasan (Bandar/luar Bandar/separa Bandar).

Kawasan DUN yang menjadi kajian pada kali ini adalah;

N.02 TANJUNG BIDARA
N.04 LENDU
N.05 TABOH NANING
N.07 GADEK
N.09 DURIAN TUNGGAL
N.10: ASAHAN
N.14 KELEBANG
N.17 BUKIT KATIL
N.25 RIM
N.26 SERKAM
N.27 MERLIMAU
N.28: SUNGAI RAMBAI

Hasil daripada kajian mendapati terdapat beberapa faktor yang menarik untuk kita semua ambil perhatian.

Antaranya;

1. Ramai pengundi tidak mahu keluar mengundi atau belum mengambil keputusan untuk keluar mengundi. Ramai para pengundi di Negeri Melaka hilang “mood” untuk keluar mengundi kerana faktor keselamatan dari sudut kesihatan atau secara spesifiknya adalah kerana wabak Covid-19 masih belum reda.

2. Ramai pengundi seolah-olah hilang kepercayaan dengan parti-parti politik yang pada hari ini. Mereka menyatakan bahawa apabila mereka mengundi seseorang calon dari parti A tetapi akhirnya setelah menang pemilihan, calon tersebut melompat ke parti B pula. Maka, dari sudut kepercayaan oleh para pengundi sebahagiannya telah hilang rentetan dari apa yang telah berlaku pada politik tanah air kita sejak kebelakangan ini.

3. Isu ekonomi dan keselamatan menjadi kerisauan oleh para pengundi. Isu yang membelenggu para pengundi di negeri Melaka pada ketika ini adalah isu ekonomi. Dimana dibuang kerja dan pendapatan mereka sejak wabak Covid-19 melanda negara kita. Menjadi lebih buruk adalah kejadian banjir lebih kerap berlaku sejak beberapa tahun ini. Tambahan lagi, isu kenaikan harga barang yang melambung tinggi sejak wabak Covid-19 melanda. Serta isu lembapan WIFI di kawasan negeri Melaka. Pengundi mencari solusi iaitu siapakah yang boleh memberi jalan keluar kepada mereka untuk mengatasi masalah tersebut.

4. Isu peningkatan air laut di kawasan pesisir pantai negeri Melaka. Para penduduk di kawasan pesisir pantai negeri tersebut risau akan nasib mereka apabila air laut semakin lama semakin dekat dengan kawasan rumah mereka. Ini kerana paras air laut semakin meningkat disamping penambakan beberapa kawasan menambahkan lagi kesan kepada kawasan pantai mereka terutamanya kawasan nelayan. Lebih parah lagi ketika Air Pasang Besar berlaku.

5. Isu krisis air negeri Melaka. Penduduk juga menyatakan kebimbangan mereka berkenaan isu bekalan air di negeri tersebut memandangkan mereka selalu juga mengalami gangguan bekalan air. Keadaan menjadi lebih teruk apabila menjelangnya musim kemarau.

6. Isu kediaman mampu milik. Pada hari ini, kediaman merupakan salah satu perkara yang sukar untuk rakyat di negara ini untuk memilikinya dan negeri Melaka tidak terkecuali daripada perkara ini. Ramai pasangan muda yang baharu berkahwin, golongan pendapatan rendah dan sederhana merungut tentang perkara yang sama.

Di dalam pilihanraya negeri Melaka pada kali ini, terdapat kelebihan dan kekurangan bagi setiap parti yang bertanding:

1. Kelebihan bagi parti Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh UMNO, mereka mempunyai akar umbi ahli yang ramai dan kukuh di negeri Melaka. Pengaruh parti UMNO terutamanya di Melaka sangat lama dan mempunyai sejarah yang cukup panjang.

2. Manakala, parti Perikatan Nasional, mempunyai imej yang semakin meningkat sejak bekas Perdana Menteri ke-8 iaitu “Abah” menjadi popular terutamanya bagi pengundi Melayu.

3. Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan dari sudut undi bukan Melayu terutamanya undi masyarakat Cina. Apabila undi Melayu berpecah, pasti akan memberi kelebihan kepada PH. Tambahan lagi, kekuatan PH sejak tahun 2008 tertumpu di kawasan Bandar seperti Dun yang berada di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka

4. Kelemahan bagi pihak BN dan PN di negeri Melaka adalah mereka merebut segmen pengundi yang sama iaitu pengundi Melayu. Walaupun PN dilihat masih baharu, tetapi dengan kedatangan mereka pasti akan berkurangkan undi kepada pihak BN. Sekaligus memberi kelebihan kepada PH jika dilihat dari satu sudut.

5. Tambahan lagi imej bekas Ketua Menteri Melaka iaitu Adhly Zahari yang dilihat mesra rakyat dan mempunyai latar belakang agama yang bagus menjadi daya tarikan rakyat negeri Melaka.

6. Namun, harus diingatkan bahawa para pengundi yang mengundi PH pada PRU ke-14 pada tahun 2018, kebarangkalian besar meluahkan pendapat bahawa mereka tidak akan undi PH sekali lagi untuk PRN Melaka terutamanya pengundi Melayu atas pagar. Tambahan lagi, ramai juga pengundi bukan Melayu meluahkan pendapat bahawa mereka belum pasti lagi sama ada mahu keluar mengundi atau pun tidak.

Ini penting untuk diperhatikan kerana bagi mereka tiada guna keluar mengundi dan memenangkan calon pilihan mereka, kerana peristiwa lompak melompat pasti akan berlaku selepas ini.

Keputusan PRU 14

Berdasarkan keputusan PRU ke-14 yang lalu, terdapat 9 kerusi DUN di negeri Melaka yang dimenangi oleh calon ketika itu adalah dibawah majoriti satu ribu undi. 6 Kerusi dimenangi oleh BN manakala 3 kerusi dimenangi oleh PH. Muka baharu dipertaruhkan hampir kesemua kawasan 9 DUN ini oleh parti-parti yang bertanding dengan harapan kemenangan milik mereka.

Antara DUN tersebut adalah Lendu, Rim, Asahan, Merlimau, Taboh Naning, Pantai Kundor, Kelebang, Gadek dan Durian Tunggal.
DUN yang menjadi bualan orang ramai adalah N2 Tanjung Bidara serta N10 Asahan dibahawa nama-nama besar bertanding di kedua-dua kawasan tersebut.

Tanjung Bidara merupakan kawasan dimana peratus pengundi Melayu sangat tinggi. Ia menjadi kawasan kubu kuat BN sejak sekian lama. Namun, Calon taruhan PN pada kali ini adalah bekas Ahli Parlimen BN yang melompat ke parti komponen PN iaitu BERSATU apabila kalahnya BN pada PRU ke-14 yang lalu, Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin. Manakala BN pula mempertaruhkan Pengerusi UMNO Melaka iaitu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Manakala calon PH iaitu Zainal Hassan dijangka akan menjadi “pengacau” undi untuk menentukan pemenang antara BN dan PN.

Mas Ermieyati dilihat mampu memberi cabaran yang hebat di DUN Tanjung Bidara kerana beliau dikenali ramai oleh para pengundi kerana sudah menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah sejak tahun 2013 (DUN N2 Tanjung Bidara dibawah kawasan Parlimen P134 Masjid Tanah).

Jika kalahnya BN di kawasan ini, maka….sejarah akan tercipta dimana kubu kuat BN berjaya dirobohkan serta moral BN Melaka akan jatuh dengan mendadak. BN melalui UMNO pasti akan bermati-matian mempertahankan kerusi N2 Tanjung Bidara demi menjaga imej mereka di Melaka.

Manakala N10 Asahan, tumpuan kepada calon PH dimana mereka mempertaruhkan Datuk Seri Utama Ir. Idris bin Haron. Beliau merupakan bekas Ketua Menteri Melaka pada tahun 2013 hingga 2018 atas tiket BN (UMNO). Ramai dikalangan pengamal politik tidak berpuas hati atas keputusan pimpinan PH meletakkan beliau sebagai calon di DUN tersebut.

Namun, beliau merupakan anak jati DUN Asahan dijangka kan akan melahirkan keputusan yang mengejut bagi PH di kawasan tersebut. Tetapi, jika para pengundi protes dengan menolak beliau atas alasan beliau melompat parti, maka….. BN mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan DUN tersebut pada kali ini melalui calon mereka, Fairul Nizam Roslan. Calon PN bagi DUN N10 Asahan, B. Dhanesh dilihat hanya mampu menjadi “pengacau” undi bagi perebutan PH dan BN.

Keputusan PRN Melaka?

Bagi pihak saya sendiri setelah meneliti dapatan yang diperolehi, saya mendapati pihak BN mempunyai kelebihan untuk membentuk kerajaan jika para pengundi Melayu atas pagar tidak pulang mengundi pada PRN Melaka kali ini serta sentimen penolakan oleh pengundi Melayu keatas PH. Ini kerana selama 22 bulan PH memerintah kerajaan Persekutuan, dilihat tidak mengubah banyak benda, sebaliknya kontroversi demi kontroversi terpalit kepada PH sepanjang tempoh tersebut.

Manakala, jika PH berjaya meyakinkan seramai mungkin para pengundi bukan Melayu iaitu pengundi Cina dan berjaya meyakinkan sebahagian pengundi Melayu atas pagar, mereka akan berjaya memenangi banyak kawasan DUN dan sekaligus membentuk kerajaan negeri.

Untuk parti gabungan yang baharu iaitu Perikatan Nasional, dilihat tidak memberi impak yang begitu besar untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian. Berkemungkinan mereka akan membentuk kerajaan bersama BN tetapi dengan “deal” atau perjanjian yang baharu.

PRN Melaka adalah penting bagi Perikatan Nasional kerana jika mereka gagal menarik sokongan rakyat kepada mereka, maka…masa depan politik mereka pasti akan melalui detik-detik yang begitu getir sekali. Sekiranya mereka berjaya membuat kejutan dengan memenangi banyak kerusi pada PRN Melaka kali ini, mereka akan berjaya menjinakkan UMNO untuk heret parti Melayu tersebut untuk ke meja rundingan bagi menghadapi PRU ke-15 yang akan datang.

Calon parti kecil seperti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta 22 calon bebas dijangka kan tidak memberikan impak yang besar pada PRN Melaka. Namun, mereka boleh juga menjadi alternatif kepada golongan pengundi yang sudah muak akan permainan politik dari pihak BN, PN mahupun PH. Jika satu kerusi berjaya dimenangi oleh mereka atau ramai dikalangan calon parti kecil serta Bebas tidak hilang deposit, itu merupakan petanda bahawa Malaysia sudah memasuki fasa Multiparti dan bukan lagi Dwiparti seperti sebelum ini.

Jangkaan yang bakal berlaku?

1. BN Menang tipis

2. PH menang tipis

3. BN dan PN akan bergabung semula untuk membentuk kerajaan negeri Melaka tetapi dengan “deal” belakang tabir yang baharu apabila tiada gabungan yang dapat membentuk majoriti mudah pada PRN Melaka pada kali ini.

4. PH akan membentuk kerajaan negeri bersama BN ataupun PN apabila tiada gabungan yang mendominasi DUN Melaka pada kali ini.

5. Parti kecil atau parti bebas yang menang kerusi DUN akan menjadi sangat “berharga” dan akan dipujuk oleh pihak gabungan lain (PH atau BN) untuk membentuk kerajaan negeri Melaka.

Parti manakah yang bakal membentuk kerajaan negeri Melaka malam ini?

Adakah BN akan membuat “come back” setelah tewas pada PRU ke-14 yang lalu?

Atau PH berjaya memujuk para pengundi bukan Melayu dan pengundi atas pagar untuk mengundi mereka sekaligus mengambil kesempatan di atas perpecahan undi Melayu untuk membentuk kerajaan?

Sejauh manakah PH berjaya “menjual” nama Haji Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka untuk menarik pengundi atas pagar serta undi protes penolakan BN oleh ahli BN sendiri untuk undi PH pada kali ini?

Ataupun PN bakal membuat kejutan kepada BN dan PH dengan menggunakan imej “Abah” agar pengundi memihak kepada mereka terutamanya pengundi Melayu?

Ataupun kebangkitan kecil calon Bebas serta parti kecil bermula di negeri Melaka?

Sama-sama kita nantikan debarannya pada malam 20 November.

Muhammad Syukhri Shafee

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *