Parti Anak Muda Perlu Didokong Fahaman yang Kukuh

Di media sosial anak muda rata-rata teruja dengan idea parti anak muda yang dicanangkan oleh YB Syed Saddiq.
Namun satu perkara yang harus diperhalusi ialah:
Apa fahaman yang mendasari perjuangan parti tersebut?
Pada saat ini gerakan itu nampaknya digerakkan oleh 2 perjuangan besar:
1) Menggembleng penyertaan anak muda ke dalam politik
2) Menolak politik lama yang didominasi oleh Kaum Tua
Kedua-dua objektif itu wajar dipuji, tapi mana-mana gerakan politik perlu memikirkan bukan sahaja soal penggantian tapi juga pengisian.

Katakanlah politik lama berjaya ditolak dan gerakan ini naik ke tampuk kuasa,
- Apa pengisian yang akan mereka bawa?
- Apa fahamannya?
- Adakah bersandarkan ideologi keagamaan, tradisi atau material?
Sejarah membuktikan bahawa parti yang mempunyai ideologi kukuh pun mampu berpecah bila mencapai tampuk kuasa, apatah lagi parti yang tidak ada benang pengikat itu. Lebih-lebih lagi jika parti itu disandarkan pada kekuatan peribadi-peribadi tertentu.
Apa yang kita takuti ialah bila objektif asal (penggantian kuasa) tercapai, maka ahli-ahli gerakan akan hilang tujuan dan mula berebut dan berperang sesama sendiri. Hal ini telahpun terjadi kepada banyak parti di Malaysia.
Isu fahaman yang mendasari perjuangan ini perlu difikirkan secara serius oleh Parti Anak Muda kerana ia akan menentukan sama ada ia menjadi gerakan yang ampuh atau sekadar pelepah ditiup angin.
Sumber FB Ikmal Nordin