Panggilan “Budak” – Ahli Politik Tua yang Tidak Matang

Oleh Haiqal Harris

Sejak awal zaman persekolahan, sering diperdengarkan

“kamu semua adalah pemimpin di masa hadapan”,

itu sahaja ayat yang diulang setiap kali menghadiri perjumpaan pengawas sekolah dari zaman sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah kini di peringkat universiti dengan harapan agar pemimpin kecil seperti kami sentiasa bersemangat dalam menjalankan tugas dan terus meletakkan cita-cita sebagai seorang pemimpin pada masa akan datang.

Hari demi hari, tahun demi tahun, 2020 sudah tiba di penghujungnya, sebulan dari sekarang angkanya bakal berubah ke 2021. Namun sayangnya, tahun ini tidak seindah yang digambarkan, wawasan 2020 yang penuh dengan imaginasi berubah menjadi mimpi ngeri.

Namun ada yang lebih mengerikan tatkala melihat bagaimana seorang pemimpin muda diperbudak-budakkan oleh seorang tua, isu? mungkin bukan isu pada sebahagian, tapi sebagai rakyat marhaen yang masih muda, saat menonton bagaimana seorang pimpinan diperbudakkan dihadapan pimpinan senior dan ditonton oleh rakyat jelata, benar, ia bukan perkara enteng.

Sejarah mencatatkan bagaimana anak muda adalah sebahagian daripada sejarah kegemilangan bagi sesebuah kerajaan mahupun tamadun yang ada di dunia.

Dunia Islam memaparkan bagaimana perjuangan dalam menyebarkan dakwah itu tidak hanya dipelopori oleh para senior semata akan tetapi sosok seperti Muhammad Al Fateh, Zaid bin Harithah pernah menjadi sebahagian daripada coretan kegemilangan Islam.

Saya tidak menyamakan Ahli Parlimen Muar seperti mereka, ini bukan seperti bagaimana seorang pemimpin mahu disamakan seperti hud hud, sungguh jauh sekali.

Namun yang ingin diketengahkan adalah bagaimana sebuah penghormatan itu bukan dapat dibeli dengan wang, bukan boleh didapati di kedai runcit mahupun pasaraya, penghormatan diantara satu sama lain itu dibina dan terbina dengan menghormati satu sama lain.

Anak muda bukan bola yang boleh ditendang sana dan sini, anak muda adalah cerminan identiti negara, demikianlah bagaimana para cendekiawan menyatakan bagaimana tingginya nilai anak muda pada sisi sebuah negara.

Hentikanlah diskriminasi ini, penghormatan pada anak muda serta sanjungan sebagai pewaris watan, tidak hanya terletak dengan memberikan insentif demi insentif, akan tetapi ia juga terlihat bagaimana sesebuah kerajaan itu memposisikan anak muda mereka, bagaimana kerajaan itu membentuk anak muda mereka, dan bagaimana kebijaksanaan pemerintah itu mencorakkan keperibadian anak muda pada watan mereka.

Anak muda perlu terus bangun, benar sebahagian kita terdesak dengan kesempitan hidup, benar sebahagian dari kita menerima tekanan yang cukup hebat, benar kita tiada wang yang menggunung, kita tiada ilmu yang luas, yang kita punya adalah semangat yang kuat ,padu dan jitu, maka semangat itu perlu terus disemarakkan dengan ilmu yang baik dan amal yang berterusan.

Jika jatuhnya kita kerana manusia , maka bangkitlah keranaNya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *