Pakar Psikologi: Jangan Ingat Suri Rumah Tiada Stres

Dalam sesi yang disampaikan dalam ‘Konvensyen Suri 2020’ bertempat di atas talian, ahli psikologi Tuan Akif Basri mengatakan bahawa golongan wanita yang mempunyai anak kecil atau masih bersekolah cenderung untuk mengalami isu-isu kesihatan mental seperti stres, kemurungan, keresahan dan kesedihan.

Dapatan itu berdasarkan satu kajian yang dibuat pada tahun 2012 terhadap 60,000 wanita berusia 18-64 tahun. Daripada 3 kategori iaitu

1- Suri Rumah (ada anak bawah 18 tahun);
2- Ibu bekerja (ada anak bawah 18 tahun); dan
3- Ibu bekerja (tiada anak bawah 18 tahun)

Didapati bahawa golongan pertama menunjukkan kadar kemurungan paling tinggi.

Kenapa suri rumah paling stres?

Kenapa golongan ini paling stres? Kajian tersebut mendapati golongan suri rumah ini rasa kurang berkembang, kurang senyum/gelak, kurang belajar sesuatu yang baru, dan kurang rasa bahagia. Antara sebab mereka rasa begini ialah:

  • Rutin yang sama
  • Tiada teman borak
  • Tiada gaji
  • Kurang pengiktirafan suami
  • Tiada cuti & masa rehat
  • Suami kuat main game dan tengok movie
  • Dan pelbagai lagi sebab, kebanyakannya disebabkan rutin yang sama dan tidak banyak peluang untuk aktiviti mencabar di luar rutin harian

Stres itu bertambah bila berhadapan masyarakat yang sering merendahkan kerja suri rumah dengan kata-kata: “Duduk rumah je, penat ke?” “Orang nak anak takde anak, kau bersalin setiap tahun” atau “Nenek dan mak saya ok je, apa yang awak stress?”

Jika anda suri rumah, mungkin anda sangat faham perkara-perkara di atas.

Apa yang mendatangkan bahagia?

Jika stres ini tidak diatasi, kemungkinan akan datangnya penyakit mental seperti depresi, keresahan dan lain-lain. Tuan Akif turut berkongsi faktor-faktor yang menyebabkan suri rumah rasa bahagia berdasarkan kajian:

  • Suami tolong kerja rumah
  • Suami tanya bagaimana keadaan isteri
  • Masa bersendirian (‘Me time’)
  • Dapat keluar dengan kawan-kawan
  • Bawa jalan-jalan
  • Dapat perhatian/hadiah dari suami
  • Perbualan yang memuaskan
  • Hubungan kuat dengan Allah

Dan perkara-perkara ini tidaklah begitu rumit untuk dilaksanakan, semudah suami memberikan masa terfokus untuk mendengar luahan harian isteri.

Para suami di luar sana, jangan sampai isteri anda stres ya. Balik rumah jangan terus tuju PUBG atau PS5, pinjamkan telinga sebentar kepada isteri, sebab duduk di rumah dan memastikan rumah teratur dan anak terdidik bukan perkara yang mudah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *