Normalisasi Hubungan UAE – Israel Langkah Terkutuk

Tindakan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang diketuai oleh Mohammed Bin Zayed untuk menormalisasi hubungan dengan negara haram Israel perlu dikutuk sekeras-kerasnya.
Walaupun tindakan itu atas alasan kononnya untuk mencegah pemilikan paksa Israel terhadap sejumlah besar wilayah Tebing Barat, ia sebenarnya hanyalah dalih untuk cuba meredakan kemarahan rakyat Palestin. Lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri rejim Israel Benjamin Netanyahu sendiri menyatakan bahawa rancangan pemilikan paksa tersebut hanyalah ‘delayed’ dan masih ‘on the table’ seperti yang dilaporkan oleh BBCNews.

Tindakan UAE ini juga untuk menyenangkan hati Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang akan berhadapan pilihanraya Presiden November ini.
Sikap UAE ini boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan terhadap perjuangan menuntut hak – hak rakyat Palestin yang ditindas rejim Israel selama ini. Negara luar terutamanya negara Islam sepatutnya menyokong pembentukan negara Palestin yang berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya, bukannya menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Kementerian Luar Negeri Malaysia didesak agar menghantar bantahan rasmi kepada UAE dan Amerika Syarikat.
KIta harus terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak – hak mereka, selari dengan ajaran Islam dan tuntutan kemanusiaan sejagat.
Sumber FB Fauzi Hasim