Lapar Jawatan dan Khianat

Ajaran Islam dan peristiwa sejarah berulang kali mengingatkan kita tentang bahayanya sifat dahagakan jawatan, kerana sifat ini membawa kepada banyak sikap buruk yang lain termasuk mengadu domba, mengambil wang haram dan berkhianat.

Perkara ini terjadi sejak awal sejarah Islam lagi. Abdullah bin Ubai, ketua kepada munafik di Madinah memusuhi Rasulullah SAW kerana sebelum kedatangan Nabi beliau bakal diangkat menjadi raja kepada kaum Khazraj.

Namun Rasulullah yang diangkat menjadi pemimpin menyatukan Aus dan Khazraj, menyebabkan iri hati dan kebencian yang sangat mendalam daripada Abdullah bin Ubai. Beliau memilih cara permusuhan yang paling licik; menampakkan keislaman secara luaran tetapi pada masa yang sama membuat khianat, berpakat dengan Quraisy dan Yahudi untuk menjatuhkan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW berkali-kali mengingatkan para sahabat tentang bahayanya kemaruk kuasa. Dalam satu hadith baginda menyebut:

“Sesungguhnya kami tidak akan memberikan ini (jawatan) kepada yang memintanya, atau yang sangat bercita-cita kepadanya”.

(HR Bukhari)

Dalam sejarah Melayu juga, sifat lapar jawatan menjadi salah satu sebab perpecahan dan keruntuhan kerajaan Melaka. Nama Si Kitol begitu sinonim dengan pengkhianatan, dan kerana keuntungan dunia (ingin melupuskan hutangnya dengan Raja Mendeliar) dia mengadu domba antara Raja Mendeliar dan Nina Sura Dewana, kononnya Bendahara menyebelahi Nina Sura Dewana.

Raja Mendeliar yang termakan hasutan ini memberitahu pula Laksamana Khoja Hassan bahawa Bendahara ingin menjadi raja, dan kerana nafsu kekuasaan mereka ini telah dibakar Bendahara difitnah dan akhirnya dihukum mati.

Peribahasa Melayu seperti ‘api dalam sekam’, ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘duri dalam daging’ bertujuan mengingatkan kita bahawa bahaya yang paling besar bukan datang daripada musuh yang nyata, tetapi daripada orang dalam yang bercita-cita dan berbuat durja.

Kisah-kisah ibn Ubai dan si Kitol wajar dijadikan pengajaran kerana golongan seperti itu wujud di setiap zaman, manakala ambisi dan makar mereka memusnahkan perpaduan dan mendatangkan kehancuran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *