Langkah Anwar : Menang atau Muslihat?

Pengumuman Anwar Ibrahim semalam bahawa beliau ada majoriti yang ‘kuat dan kukuh’, melebihi ’empat, lima, enam Ahli Parlimen’ memberi gegaran kepada politik negara.

Tetapi berapa ramai sebenarnya yang Anwar perlukan untuk menang?

1. Sudah Sah Blok Anwar

Mereka yang sudah rasmi menyokong Anwar dan mengeluarkan kenyataan :

DAP 42

AMANAH 11

PKR (tanpa blok Azmin) 36

Jumlahnya 89 Ahli Parlimen. Manakala beberapa komponen PH yang lain seperti Pejuang Tun M dan WARISAN di Sabah masih ‘wait and see’ atau tidak memberi komen.

Maknanya Anwar hanya perlukan baki 23 ahli Parlimen untuk menjadi PM.

2. Mungkin sokong Anwar

Dari mana datang 23+ orang tu? Di situ datangnya kejutan semalam: Zahid Hamidi, presiden UMNO kata ahli Parlimen BN ada yang sokong Anwar!

GPS secara terang menolak Anwar. Tapi tanpa GPS pun, BN masih memiliki 60 ahli Parlimen (UMNO 54, MIC 2, MCA 1, PBS 1, UPKO 1, PBRS 1). Kalau separuh daripada ahli Parlimen BN itu sokong Anwar beliau sudah boleh jadi PM.

Ketidakpuashatian BN terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah pun diketahui umum. Baru minggu lepas Zahid Hamidi kata pekerja parti bertugas di lapangan tanpa ada dana dan ‘hanya sebahagian’ daripada komponen PN.

3. Betul ke Anwar dah ada sokongan? Atau ini satu muslihat?

Ada penganalisa seperti Raja Petra Kamarudin mengandaikan bahawa Anwar sebenarnya tidak ada bilangan untuk mencapai majoriti. Beliau hanya membuat ‘self-fulfilling prohecy’, mengumumkan sokongan walaupun sebenarnya tidak ada dan melihat siapa yang akan lompat dan membenarkan ramalam itu.

Jadi Langkah Anwar satu kebenaran atau muslihat politik? Bukti sedia ada seolah-olah membenarkan kedua-dua pandangan:

  • Mungkin benar sebab BN sudah menyatakan kemungkinan sokongan
  • Mungkin muslihat sebab bilangan sebenar belum didedahkan, dan beberapa rakan Anwar (seperti DAP) seolah-olah terkejut dengan langkah ini

Apapun, bilangan yang sudah ‘confirm’ di tangan Anwar menunjukkan bahawa rakan sedia ada tidak cukup untuk membawa beliau ke Putrajaya. Beliau memang memerlukan rakan baru untuk naik menjadi PM, dan nampak gayanya rakan baru ini kemungkinan besar dari UMNO-BN!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *