Konflik Rakyat & Raja Thai – Kuasa, Wanita & Skandal
Puluhan ribu rakyat Thai terus berhimpun di Bangkok, walaupun kerajaan mengeluarkan arahan mengharamkan perhimpunan lebih daripada 4 orang, dan telah menahan lebih daripada 20 aktivis.

Kenapa rakyat Thai begitu marah?
Walaupun perhimpunan itu mendesak peletakan jawatan PM Thailand, Prayuth Chan-ocha dan melawan salah guna kuasa oleh junta tentera yang memerintah, semua tahu sasaran sebenar kemarahan rakyat : Raja Thai.
Institusi beraja di Thai sangat berkuasa. Mengkritik raja adalah satu kesalahan besar, dan undang-undang lese majeste sering digunakan untuk menangkap sesiapa yang bersalah. Golongan tentera yang memerintah Thailand pula berlindung di sebalik ‘melindungi institusi raja’ untuk memastikan mereka terus berkuasa dan membuang mana-mana kerajaan yang tidak sehaluan.
Atas sebab itu Thailand antara negara yang mengalami paling banyak kudeta dalam sejarah moden. Sejak 1932, tentera melakukan rampasan kuasa sebanyak 13 kali, kebanyakannya di bawah payung raja dan atas alasan melindungi sistem monarki.
Namun rakyat Thai tetap menghormati raja mereka kerana mendiang Raja Bhumibol, yang memerintah selema 70 tahun dari 1946 hingga 2016, merupakan raja yang konservatif dan menunjukkan nilai-nilai murni. Namun sifat penggantinya berbeza sekali.
Raja Vajiralongkorn yang penuh skandal
Pengganti Raja Bhumibol, Raja Vajiralongkorn pula terkenal dengan pelbagai skandal dan cara hidup yang berfoya-foya. Beliau berkahwin sebanyak 4 kali, dan mempunyai 7 anak daripada 3 isteri. Anak-anaknya seramai 5 orang bersama pelakon Yuvadhida Polpraserth lahir sebelum beliau berkahwin dengan pelakon itu, dan semasa beliau masih berkahwin dengan isteri pertamanya.

Lebih daripada itu, beliau diketahui mempunyai ramai teman wanita malah mengangkat Sineenat Wongvajirapakdi menjadi ‘Gundik Diraja’ walaupun adanya Permaisuri Diraja, Suthida Tidjai.

Rakyat Thai semakin marah dengan gaya hidup Raja bila saluran berita antarabangsa mendedahkan bahawa ketika Thailand dilanda wabak dan kesusahan ekonomi, Raja menetap di sebuah hotel mewah di Jerman bersama harem berjumlah 20 orang wanita!

Pengumpulan harta & kuasa
Lebih daripada itu, Raja Vajiralongkorn cuba menambahkan kuasa dan kekayaannya dengan cara yang dilihat bertentangan dengan perlembagaan Thailand. Pada tahun 2017 beliau mengambil alih Biro Harta Diraja (CPB), biro yang menguruskan pelaburan-pelaburan raja yang sebelumnya ditadbir oleh Menteri Kewangan. Dengan itu harta-harta CPB menjadi hakmilik peribadi raja, dan raja memegang sendiri saham-saham yang begitu banyak dalam bisnes di Thailand.
Tidak cukup dengan pelaburan peribadi, Raja Thai juga mendapat bajet daripada kerajaan berjumlah 1 Bilion Dolar setahun. Tidak hairan jika Raja Thai tersenarai sebagai raja terkaya di dunia!
Beliau juga masuk campur secara langsung dalam urusan politik, mengubah perlembagaan untuk memudahkan beliau memerintah dari jauh dan meletakkan beberapa briged tentera di bawah kawalan beliau secara langsung. Sebelum pilihan raya, beliau menggesa rakyat Thai untuk mengundi ‘orang-orang baik’, yang dilihat sebagai suruhan untuk mengundi tentera yang setia kepada Raja.
Raja yang sepatutnya bersikap neutral dalam politik negara dilihat pilih kasih, berat sebelah dan tamakkan kuasa, maka rakyat Thai melihat beliau telah melampaui batas. Itulah punca kepada perhimpunan yang sedang marak.
Bagaimana kesudahan konflik rakyat dan Raja? Undang-undang Thailand begitu ketat dan boleh digunakan untuk menangkap sesiapa yang bersuara. Tapi jika perhimpunan ini gagal sekalipun dan semua pimpinannya meringkuk dalam penjara, satu perkara sudah pasti: rakyat Thai tidak lagi memandang Raja mereka sebagai suci dan melebihi undang-undang.