Keputusan PRN Negeri Melaka: Suatu Analisis Kritikal

PRN Melaka telah berakhir pada 20 November (Sabtu) semalam dan menyaksikan lebih kurang 62-63 peratus pengundi telah keluar membuang undi mereka. Seperti yang dijangkakan bahawa masih ada peratus pengundi tempatan yang tidak keluar mengundi serta pengundi luar Melaka tidak ramai balik mengundi. Sebaliknya lebih ramai “pelancong” yang datang ke Melaka berbanding pengundi yang pulang untuk mengundi.

Keputusan PRN Melaka pada kali ini memberikan petunjuk yang agak jelas kepada kita semua iaitu;

1. Sebahagian Pengundi bukan Melayu seolah-olah (boikot) untuk turun mengundi. Pengundi bukan Melayu terutamanya pengundi cina di kawasan bukan Melayu seolah-olah “merajuk” untuk keluar mengundi. Ini dapat kita lihat daripada kawasan-kawasan DUN yang mempunyai demografik campuran.

2. Para pengundi tolak calon “lompat parti”. Seperti sedia maklum, DUN Asahan dan Pantai Kundor (N.10) menyaksikan penolakan besar-besaran oleh para pengundi terhadap calon PH yang bertanding di dua kawasan tersebut. Lebih ketara adalah di kawasan DUN Pantai Kundor (N.12) dimana PH kalah teruk iaitu dibelakang calon daripada Perikatan Nasional.

3. Ramai pengundi tidak ambil kisah akan apa yang terjadi selepas ini. Dikala wabak Covid-19 masih melanda negara kita, PRN Melaka diadakan. Sebenarnya ramai pengundi kecewa dan muak dengan sikap ahli politik kita, terutamanya muka-muka lama. Maka, untuk kali ini, sebahagian mereka mengambil sikap “buat tak tahu” dan tidak turun mengundi. Mereka merasakan banyak perkara lain yang perlu mereka fikirkan demi kelangsungan hidup mereka.

4. Isu nasional kurang memberi impak kepada para pengundi Melaka pada kali ini. Pelbagai berita dimainkan dan isu diketengahkan oleh parti-parti yang bertanding. Antaranya isu rasuah kerajaan PN, tuntutan nilai hartanah RM 100 juta oleh bekas Perdana Menteri Malaysia “Bossku” serta lain-lain isu lagi. Namun, ia tidak diambil kira oleh majoriti pengundi pada kali ini. Mereka lebih tertumpu kepada isu lokaliti dan isu setempat.

5. Sebahagian Pengundi bukan lagi mengundi berdasarkan “logo” parti tetapi berdasarkan faktor “calon”. Tren pengundian berdasarkan parti ini semakin lama semakin lapok dijaja oleh sesetengah parti. Ia dapat dilihat dengan agak ketara bagi kebanyakan kerusi DUN di Melaka pada kali ini.

Apa yang menarik lagi tentang PRN Melaka adalah kebanyakan calon PRN Melaka yang dimenangi oleh pihak Barisan Nasional (BN) adalah muka baharu. Ia memberi petunjuk bahawa pemilihan calon kali ini oleh pihak BN menampakkan sedikit positif atau matang setelah mereka tewas pada PRU ke-14 (2018) yang lalu.

PRN kali ini juga menyaksikan perkara yang menarik perhatian iaitu undi Melayu atas pagar didominasi oleh pihak gabungan Parti Perikatan Nasional dan Barisan Nasional. Parti Gabungan Pakatan Harapan dilihat gagal memikat pengundi Melayu atas pagar.

Prestasi Parti yang Bertanding

Bagi parti Barisan Nasional (BN), mereka berjaya memenangi 21 kerusi DUN pada PRN kali ini daripada keseluruhan 28 kerusi DUN yang dipertandingkan. Apabila peratus keluar mengundi rendah, ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera BN. Kebanyakan kawasan yang mereka kalah dengan majority tipis para PRU ke-14 yang lalu, mereka berjaya memenangi semula dengan majoriti yang lebih besar dan bergaya. MCA berjaya memenangi 2 kerusi DUN dan MIC berjaya memenangi satu kerusi DUN. Sekaligus, BN berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka dengan majority 2/3 di DUN Melaka.

Manakala gabungan parti Pakatan Harapan, PRN Melaka pada kali ni adalah kekalahan yang paling terbesar pernah mereka hadapi sejak pembentukan gabungan tersebut di negeri Melaka. Selain gagal memikat pengundi Melayu atas pagar, mereka juga gagal dalam memikat para pengundi bukan Melayu terutamanya bagi kawasan campuran seperti di DUN Rim (N.25), Kelebang (N.14), Bemban (N.24), Paya Rumput (N.13), Manchap Jaya (N.08) dan lain-lain DUN. Lebih malang lagi, terdapat undi awal (Undi Pos) iaitu di Kem Terendak bagi kawasan DUN Sg. Udang menyaksikan PH hanya mendapat 20 undi sahaja iaitu jumlah yang diperolehi oleh calon Bebas. Lebih malang lagi, jumlah tersebut lebih rendah berbanding undi rosak bagi peti undi tersebut iaitu 26 undi. Jelas menunjukkan PH ditolak oleh golongan Polis dan Tentera pada PRN Melaka kali ini. Dalam bahasa mudah PH “out of league” bagi kategori Undi awal atau Undi Pos.

Parti DAP berjaya memenangi 4 kerusi trasidi mereka yang berada di kawasan Bandar. Manakala Amanah melalui Adly Zahari hanya berjaya memenangi satu kerusi sahaja iaitu di DUN Bukit Katil (N.17). PKR adalah Parti yang menunjukkan prestasi yang tercorot bagi parti komponen PH dimana mereka kalah di kesemua kerusi yang mereka bertanding pada kali ini. Bukan itu sahaja, calon PH juga hilang deposit di kerusi DUN Tg. Bidara (N.02) dan Ayer Limau (N.03)

Ada suara-suara menyatakan bahawa PH kalah kerana menggunakan lambang PH. Sebenarnya ia tidak benar sama sekali. Lambang bukanlah penentu pada kali ini tetapi calon yang menjadi “tarikan” utama pada PRN Melaka pada kali ini. Undi senyap atau undi protes jelas sekali kelihatan dihadapi oleh parti gabungan PH pada kali ini.

Untuk parti gabungan Perikatan Nasional, PRN Melaka menyaksikan bahawa mereka yang dikenali sebagai “underdog” team berjaya memenangi dua kerusi iaitu DUN Bemban (N.25) serta Sg. Udang (N.11). Walaupun dari segi bilangan kerusi, mereka adalah gabungan parti yang paling tercorot, harus diingatkan bahawa sebenarnya kawasan-kawasan yang berjaya dimenangi oleh mereka adalah sangat signifikan. Sebagai contoh, Kerusi DUN Sg. Udang (N.11) adalah merupakan kerusi DUN yang tidak pernah BN kalah sejak DUN Sg. Udang muncul dalam peta SPR. Sekaligus, memberi tamparan yang hebat kepada BN iaitu kawasan Tradisi BN yang majoritinya Melayu berjaya dimenangi oleh “pemain baharu”.

Tidak cukup dengan itu, salah satu kawasan campuran iaitu DUN Bemban (N.25) berjaya di menangi oleh PN. Ia memberi petunjuk jelas bahawa PN juga mempunyai kawasan bagi DUN campuran. Yang menariknya undi Melayu bagi kebanyakan kawasan DUN yang majoriti Melayu menyaksikan perebutan antara Parti BN dan PN. Walaupun BN menang dikesemua kawasan DUN majority Melayu (kecuali DUN Sg. Udang) PN memberikan saingan yang sangat hebat pada kali ini. Ia dapat dilihat di kerusi DUN Tg. Bidara (N.02), DUN Ayer Limau (N.03), DUN Lendu (N.04), Taboh Naning (N.05), Pantai Kundor (N.12), Ayer Molek (N.18), Telok Mas (N.23), Rim (N.25), Serkam (N.26) dan Sungai Rambai (N.28).

Imej dan maruah BN hampir-hampir dicalar kan oleh PN di kawasan DUN Tg. Bidara (N.02). Jelas disini pemilihan calon oleh pihak PN adalah tepat bagi melawan Pengerusi UMNO Melaka iaitu Ab Rauf Tusof. PH telah melakukan kesilapan besar pada pemilihan calon pada kerusi DUN ni.

Ramai berpandangan bahawa apa yang berlaku di PRN Melaka adalah bayangan apa yang berlaku pada PRU ke-15. Namun, harus diingatkan bahawa keputusan PRN Melaka pada kali ini bukanlah memberi bayangan apa yang bakal berlaku kepada PRU ke-15. Jika ada yang berpendapat sedemikian rupa, maka..mereka telah membuat kesilapan yang besar. Ini kerana pentas dan gelanggang PRU ke-15 pasti akan sangat berlainan dengan PRN Melaka. Pengundi adalah manusia dan bukannya “mesin” atau “robot”. Perasaan dan pemikiran para pengundi boleh berubah-ubah pada bila-bila masa. Tambahan lagi ramai pengundi tidak turun mengundi.

Dari sudut undi popular secara keseluruhannya, BN berjaya memenangi 40 peratus undi popular, manakala PH berjaya memenangi sebanyak 28 peratus dan PN berjaya memenangi 22 peratus. Namun apabila disusun mengikut kategori undi mengikut kaum, BN dan PN mendominasi undi Melayu manakala PH berjaya mendominasi undi bukan Melayu secara keseluruhannya terutamanya undi Cina. Harus diingatkan bahawa para ramai juga pengundi bukan Melayu juga kali ini melakukan undi protes keatas PH dengan mengundi calon BN atau PN. Dengan erti kata lain, undi bukan Melayu tidak semestinya “taat” kepada PH seperti PRU ke-13 dan PRU ke-14.

Faktor kemenangan BN bukanlah kerena mereka itu kuat dan disukai para pengundi, tetapi kerana banyak faktor-faktor lain yang menyebabkan mereka menang begitu banyak kerusi DUN Melaka pada kali ini. Pengundi pada hari ini semakin bersikap “anjal” serta berubah-ubah mengikut kehendak mereka dan tidak lagi terikat dengan taat setia pada parti politik seperti sebelum ini.

Pastinya apabila undi 18 dilaksanakan pada PRU ke-15, ia akan memberi gambaran yang berlainan berberbanding apa telah berlaku pada PRN Melaka kali ini. Sama-sama kita nantikan apakah hasil PRU ke-15 nanti.

Muhammad Syukhri bin Shafee
Lepasan Ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik)
Universiti Utara Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *