Kepentingan Politik Peribadi vs Keperluan Dakwah

Pada 26 Ogos, ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat, Zawawi berkata tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.

Dia kemudian dicelah oleh Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mengatakan bahawa kenyataan Zawawi itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.

Ngeh turut meminta supaya Zawawi memperbetulkan kenyataannya.

Zawawi bagaimanapun ketika itu mempertahankan kenyataannya.

“Saya minta Yang Berhormat Beruas supaya dia mengkaji betul- betul fakta-fakta agama yang ada termasuk kalau dalam agama Kristian yakni fakta sebelum daripada Kitab Injil ini dipesongkan ataupun diubah.”(1)

Perkara ini mengundang kritikan daripada persatuan gereja Sarawak dan beberapa penganut Kristian yang lain kerana dianggap menghina agama mereka.

Walaupun diasak sesetengah pihak atas dakwaan tidak menghormati agama lain. Ahli parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh menegaskan Pas tidak akan menarik balik kenyataan mereka (2).

Beliau turut disokong salah seorang pendakwah terkenal untuk ketegasan tersebut.

Surah An Nahl ayat 125 ada menyebut:

 “Ajaklah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan tutur yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa saja yang tersesat dari jalan-Nya. Dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Adakah tindakan Zawawi tepat?

Isu utama di sini adalah konflik kepentingan politik. Pas yang sering kali menuduh DAP sebagai parti yang anti Islam (3) mempunyai konflik adakah tuduhan ini hanya kerana mereka duduk di blok yang berbeza seperti mereka menuduh umno kafir suatu ketika dahulu. Kalaulah dakwah menjadi perjuangan utama Pas, lebih baik sekiranya Pas membawa suatu sikap persahabatan lebih baik di antara umat Islam dan umat Kristian dalam negara ini. Orang Melayu umumnya benci kepada orang Kristian atas momokan ustaz dan khutbah yang mengingatkan umat Islam bahawa Kristian itu seteru Islam.

Sikap Rasulullah terhadap Penganut Kristian

Menurut kitab Sirah Ibnu Ishak tentang riwayat atau sirah Rasulullah. Terdapat kisah Rasulullah mengarahkan lebih seratus umat Islam awal di Makkah untuk berhijrah ke Abysinia dan duduk di bawah naungan Raja Kristian bernama Raja Negus. (4)

Dikisahkan apabila umat Islam tiba di Abisinia dan diberikan kebenaran oleh Raja tersebut untuk tinggal di bawah lindungannya, orang Quraisy menghantar dua wakil untuk membawa umat Islam ini pulang.

Mereka cuba memfitnah bahawa umat Islam ini adalah penjenayah yang lari tetapi apabila Raja mendengar penjelasan wakil orang Islam baginda menolak tuduhan Quraisy.

Kemudian, wakil Quraisy menggunakan helah lain iaitu dengan menghasut golongan agamawan Kristian dan ketua-ketua tentera bahawa umat Islam ini menghina Nabi Isa sebagai Rasul dan bukannya Tuhan. Apabila Raja Negus bertanya kepada wakil orang Islam, beliau menjawab dengan berhemah dan Raja masih enggan melepaskan orang Islam ke tangan Quraisy.

Telah disebutkan juga Raja Negus difitnah oleh orang bangsawannya sendiri dengan mengatakan baginda murtad daripada Kristian serta mengikuti agama baharu itu.

Dalam kegawatan tersebut Raja Negus sanggup menyediakan sebuah kapal dan berpesan kepada wakil Islam untuk berlayar dengan kapal tersebut seandainya baginda tumpas di tangan pemberontak. Akhir sekali pemberontakan dipatahkan dan umat Islam hidup aman di bawah naungan Raja beragama Kristian.

Pengajaran bagi negara kita adalah kenapa Rasulullah memilih untuk menghantar umat Islam kepada seorang Raja beragama Kristian? Bukankah ini bermaksud ada orang Kristian yang mempunyai keimanan yang mendapat keyakinan Rasulullah? Kita juga dapat melihat betapa hati Raja Kristian itu amat adil dan ihsan kepada umat Islam.

Maka itu pengajarannya, kita boleh bersahabat dengan orang Kristian yang baik-baik dan beriman. Berbeza apabila kita dinasihatkan malah diarahkan untuk jangan mempercayai langsung umat Kristian.

Kita harus melihat dalam banyak hal sejarah, tujuan politik atau ekonomi serta kerakusan individu bukan ukuran kebaikan sesuatu agama.

Rujukan

  1. https://www.malaysiakini.com/news/540559
  2. https://t.co/9sw93XpDNx?amp=1
  3. https://www.malaysiakini.com/news/461296

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *