Jimat 2 Billion Untuk Doktor Kontrak, Tapi Nyawa Rakyat Jadi Taruhan Kata Pakar
Isu hartal doktor kontrak adalah krisis double trouble yang melibatkan sektor ekonomi dan kesihatan sekaligus. Maka, dalam menghadapi 2 krisis ini, sikap yang paling tepat yang harus dilakukan oleh kerajaan Malaysia, bukanlah menunggang ayat Sumpah Hippocrates seperti Do No Harm semata-mata.
Akan tetapi, seharusnya pihak pengurusan dan politikus yang memegang tampuk kuasa mendengar saranan dan nasihat daripada pakar bidang kesihatan awam dan pakar ekonomi kesihatan.
Antara pakar ekonomi kesihatan yang telah memberikan pendapatnya adalah Professor Datuk Dr. Syed Mohamed AlJunid Syed Junid, pakar kesihatan awam khususnya dalam bidang ekonomi kesihatan.

Ketika ditemuramah oleh Astro Awani pada 13 Julai 2021 yang lalu, dengan tanpa berselindung Professor Datuk Dr. Syed Mohamed AlJunid Syed Junid mengatakan, “Kalau benar kerajaan memerlukan peruntukan RM2 billion setahun untuk memberikan lantikan tetap kepada kakitangan kesihatan kontrak seperti sebuah kenyataan (Perdana Menteri), maka, ini tak sampai pun 10% daripada bajet keseluruhan Kementerian Kesihatan”.
Katanya lagi, “apakah kerajaan ingin berjimat RM2 Billion satu tahun, dibandingkan dengan bilangan nyawa manusia yang kita terpaksa hadapi sekarang dengan banyak sekali?”
“KSU KKM (Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia) perlu ambil langkah yang positif kerana kita memang sangat perlukan tenaga-tenaga teknikal seperti doktor-doktor untuk membantu. Mereka tidak akan mampu bekerja dengan moral yang baik tanpa diberikan suasana perkhidmatan yang begitu baik”
“Mereka adalah doktor-doktor muda yang bertenaga dan punya kelayakan. Sekarang moral mereka berada di tahap rendah jika hanya berada dalam status kontrak. Ini perlu kita selesaikan”
Jadi ini adalah persoalan keutamaan pihak kerajaan dalam memastikan perkhidmatan diberikan dengan berkesan dan berkualiti terutama dalam suasana wabak pandemik Covid 19 yang semakin meningkat mencapai 1 juta kes.

Nama Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid bukanlah tahap “kaleng-kaleng”. Professor ekonomi kesihatan dan Senior Research Fellow di UNU International Institute for Global Health ini merupakan rakyat Malaysia yang pertama memperolehi ijazah PhD dalam bidang ekonomi dan pembiayaan kesihatan pada tahun 1995.
Fokus penyelidikan beliau adalah mengenai dasar, ekonomi dan pembiayaan kesihatan bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan di negara-negara membangun. Prof. Dato’ Dr. Syed Mohamed Aljunid merupakan pelopor dalam pelaksanaan sistem casemix untuk kaedah bayaran kepada penyedia perkhidmatan di bawah program Insuran Kesihatan Nasional. Beliau pernah dilantik sebagai pakar perunding dalam bidang dalam ekonomi dan pembiayaan kesihatan kepada agensi antarabangsa seperti WHO, GIZ, European Union, Bank Dunia, International Atomic Energy Agency dan Asian Development Bank.

Sehingga kini, ada 7 buah negara yang telah terhutang budi kepada beliau dan hasil maha karyanya, MY-DRGs dalam memacu reformasi sector kesihatan ke arah yang lebih efisien dan berkualiti. Antaranya INA-CBGs di Indonesia,
Disebalik ijazah MD dari UKM, MSc Kesihatan Awam dari National University of Singapore dan PhD dalam ekonomi kesihatan dan kewangan dari London School of Hygiene and Tropical Medicine, UK, pendirian empati seperti ini diperlukan. Ia selaras dengan sumpah Hippocrates (Hippocratic Oath) yang diucapkan oleh sewaktu ketika dahulu.
Sumpah Hippocrates bukan semata-mata menunggang kalimat “do no harm” yang ditujukan kepada para barisan hadapan yang sedang menuntut hak mereka melalui hartal. Apatah lagi, ia disalah gunakan demi menafikan hak rakan-rakan sejawat yang kini semakin menipis moral dan semangat kerja mereka, gara-gara berada dalam kasta terendah dalam sector kesihatan.
Lebih daripada itu, sumpah Hippocrates menuntut seorang doktor untuk mempertahankan hak pesakit dan rakan-rakan sejawat dari ketidakadilan. Ini diperkukuhkan dengan Deklarasi Geneva yang sudah direvisi sebanyak 6 kali sejak diperkenalkan pada 1948. Terbaru, deklarasi ini yang menyatakan “I WILL GIVE to my teachers, colleagues, and students the respect and gratitude that is their due”
Sehingga kini, Perdana Menteri telah mengumumkan pada 23 Julai 2021 bahawa kerajaan akan menambah tempoh kontrak kepada 2 tahun tambahan, dan 4 tahun bagi yang sudah diterima dalam program master. Walaubagaimanapun, hartal doktor kontrak menyifatkan reaksi kerajaan ini bersifat janggal, memandangkan sekurang-kurangnya minimum 4 tahun (bergantung kepada bidang pengkhususan) diperlukan untuk seserang pegawai perubatan menyelesaikan program master. Ini belum termasuk tempoh menunggu bagi pegawai perubatan untuk digazet yang boleh mencapai 6-18 bulan.
Ini bermakna, tempoh 4 tahun sebagai tambahan untuk melanjutkan kepakaran yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah tidak munasabah
Maka, tidak ada pilihan lain. Yang diperlukan oleh doktor kontrak bahkan juga sektor kesihatan Malaysia dan rakyat yang menghadapi krisis di bawah tidak lain adalah penjawatan tetap kepada doktor, doktor gigi dan ahli farmasi kontrak. Seperti kata Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid, hal ini berbalik kepada kerajaan dan pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan Malaysia. Mana lebih penting, jimat 2 billion ringgit, atau nyawa rakyat menjadi taruhan?