Isu Air Selangor : PAS Lupa Kuasa Ditangan Mereka

Siapa yang tidak terkejut apabila buka sahaja telefon bimbit dimaklumkan bahawa kawasan kediaman dan sekitarnya memiliki masalah gangguan bekalan air selama BEBERAPA HARI, bukan beberapa minit atau jam, ia adalah HARI.
Bukan Isu Baharu
Isu air di Selangor bukan isu baharu sebenarnya, Selangor kerap kali menghadapi masalah gangguan bekalan air sehinggakan ada yang bersikap sarkastik apabila menjadikan isu ” tiada air ” ini sebagai “landmark” kepada negeri Selangor. Walhal ada sahaja negeri lain yang menghadapi isu air yang tidak berkesudahan sehingga telah capai 40 tahun masanya. Pemimpinnya sibuk dengan retorik ” Melayu Islam ” sehingga lupa menjadikan Islam itu satu realiti. Ada rakyatnya masih menunggu noktah kepada isu air negerinya sendiri.
Walau bagaimana pun, ada beberapa perkara menarik dalam isu gangguan air kali ini. Antaranya ialah PAS Selangor yang masih bertakbir sambil menutup mata, lupa sudah berada dalam kerajaan tapi masih mahu berhimpun mahu diangkat sebagai wira, kegagalan penguatkuasaan undang-undang yang ada menjadikan pemilik kilang terus tegar menjalankan operasinya.

Kilang yang telah menjadi punca kesusahan rakyat Selangor selama beberapa hari sebenarnya pernah berhadapan dengan tindakan undang-undang iaitu denda sebanyak RM 60,000. Akhirnya rakyat mulai bersuara agar tindakan undang-undang perlu diperketatkan, ada yang mencadangkan supaya kilang ditutup, dirobohkan, denda dinaikkan sehingga jutaan ringgit, pemilik dan individu yang terlibat dalam isu ini dipenjara selama beberapa tahun dan pelbagai lagi cadangan terhadap meningkatkan penguatkuasaan undang-undang.
Dalam perkara ini hampir semuanya bersepakat agar kerajaan negeri bertindak segera, siasat dan jatuhkan hukuman yang berat terhadap pemilik kilang tersebut kerana telah menyebabkan kerugian yang cukup besar.
Meludah ke Langit Akhirnya Jatuh ke Muka Sendiri
Apabila syarikat Air Selangor umum adanya gangguan bekalan air, ada yang terus melatah tidak henti-henti, dakwaan kerajaan negeri gagal terus menjadi zikir sepanjang gangguan itu berlangsung, maka keluarlah segala infografik menceritakan tentang kegagalan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah air, PAS tidak terkecuali, terus menghantar media parti untuk mendapatkan makluman dan sebagainya.
Kenyataan media silih berganti, ulasan tidak henti seakan terlupa bahawa pekung sendiri hampir terbuka, Setiausaha Agung PAS juga mahu menari bersama jemaah dalam situasi yang melanda rakyat Selangor apabila memuat naik sekeping gambar ditwitter kononnya sedang mengambil air di kolam renang, namun terpaksa memadamnya kembali apabila warga twitter mulai menyerang tanpa henti menyatakan bahawa ISU AIR KELANTAN juga tak selesai setelah puluhan tahun.

PAS nak berhimpun untuk apa? Kelucuan terhadap PAS semakin menjadi apabila poster penganjuran perhimpunan mendesak agar pengoperasian kilang ditutup telah disebar di media sosial.
PAS seakan lupa bahawa Ahli Parlimen Kubang Kerian (PAS) Tuan Ibrahim Tuan Man adalah Menteri Air dan Alam Sekitar turut perlu bertanggungjawab terhadap isu yang sedang berlaku. Adakah mereka terlupa bahawa air adalah perkara Daruriyyat yang menuntut penyelesaian segera, dan penyelesaian itu menuntut lebih daripada kenyataan media kerana mereka kini memegang kendali kerajaan!