Hartal Doktor Kontrak: Hanya Nanah Yang Membusuk Dari Lutut Yang Lama Bengkak – Bahagian 1
Ini adalah kali pertama dalam sejarah, di mana para petugas barisan hadapan, atau frontliners secara terbuka melakukan protes kepada kerajaan sebagai bentuk menuntut bela terhadap nasib mereka. Jadi, ini bukan agenda politikus yang sedang memainkan sentiment politik. Bukan pula para mahasiswa BBNU (budak baru nak up) yang cuba tunjuk hero. Ini adalah suara barisan hadapan bertugas di hospital dan klinik kerajaan yang menghadapi covid19 setiap hari.
Bagaimana Sistem Kontrak Mula Diperkenalkan?
Bermula pada tahun 2016, Menteri Kesihatan pada waktu itu Dr S. Subramaniam, mengumumkan 2600 lantikan baru secara kontrak untuk Pegawai Perubatan atau doktor, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi.
Menurut Datuk Dr Adham Baba, sejak dilaksanakan pada 1 Disember 2016 21 Mei lalu, terdapat 35,2165 pegawai lantikan secara kontrak untuk tiga skim iaitu Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi. Daripada jumlah tersebut, sehingga 31 Mei 2021, ada 23,077 Pegawai Perubatan UD41 kontrak.
Katanya lagi, daripada jumlah tersebut, hanya 789 daripada 2,544 pegawai daripada angkatan pertama iaitu Kohort Lantikan 1 Tahun 2016, dan Kohort kedua iaitu Lantikan 1 Tahun 2017 dan sebahagian Kohort Lantikan 2 Tahun 2017 yang layak diperakukan pelantikan tetap telahpun ditawarkan pelantikan tetap. Ini bermakna, hanya 30% sahaja daripada angkatan yang layak diperakukan lantikan tetap (2544) yang sudah ditawarkan jawatan tetap.
Masalah muncul apabila setelah 4 tahun mereka melalui perkhidmatan wajib selama 2 tahun sebagai Houseman (Pegawai Perubatan Siswazah) dan 2 tahun pegawai perubatan (medical officer) ditambah 1 tahun floating MO, masih tidak ada kata putus yang jelas dari pihak yang berwajib; Apakah kriteria yang melayakkan mereka untuk diterima sebagai penjawatan tetap?
Dan yang paling malang adalah, kontrak mereka menyatakan secara jelas bahawa pihak kerajaan berhak untuk menamatkan kontrak mereka pada bila-bila masa tanpa notis!
Isu Hartal Doktor Kontrak: Pandangan Secara Ekonomi Kesihatan (Health Economics)
Selain memandang isu ini sebagai hak pekerja menuntut penjelasan dari majikan, dan cuba mengaitkan dengan #kerajaangagal, adalah lebih baik ianya dipandang secara sistemik dan dalam kacamata dasar kerajaan.
Ini demi memastikan kita tidak hanya marahkan nanah yang busuk keluar dari lutut yang bengkak, akan tetapi kita cuba menyelesaikan punca nanah itu terjadi. Apatah lagi, isu doktor kontrak ini sudah berjalan didalam 3 zaman pemerintahan berbeza, (BN, PH, PN). Jadi ia bukan isu politik partisan, tapi isu dasar awam yang hanya akan diselesaikan oleh jentera kerajaan secara ekonomi kesihatan dan pengurusan. Isu-isu lain yang semakin bernanah adalah masalah over-crowding yang berterusan, beban kerja dan waktu menunggu di fasiliti kesihatan kerajaan yang lama, yang disebabkan distribusi yang tidak seimbang antara doktor khususnya pakar di sektor awam dan swasta. Ia berpunca dari sebuah masalah utama, iaitu peningkatan kos di sektor awam, melebihi swasta (Ahmad, 2019).

Harus diakui, sejak era pentadbiran terdahulu, usaha untuk melakukan perubahan dalam sistem kesihatan negara sudah pun tercetus. Antara tahun 1985 hingga 1996, sudah 5 kertas kerja cadangan untuk mencadangkan agar Malaysia mengamalkan sebuah skim kewangan nasional (national health financing scheme), berdasarkan prinsip social health insurance, demi mengumpulkan dana (pool funds) sektor awam dan swasta dan demi perlindungan risiko kewangan (financial risk protection) untuk rakyat. Perbincangan dengan pelbagai pemegang taruh dalam negara diteruskan lagi pada 2000, sehingga lah masuk dalam era Perdana Menteri ke-6, Najib Razak, melalui agenda Transformasi nasional. Namun semua ini terhenti pada 2011.
Setelah terjadinya peralihan kerajaan persekutuan, Menteri Kesihatan dari Pakatan Harapan, Dr Dzulkefli Ahmad pernah mengumumkan seawal 2018 untuk memperkenalkan National Health Insurance (NHI) untuk golongan B40, demi mengurangkan kebergantungan sektor kesihatan kepada tax-based funding system. Ini sudahpun dilakukan di Indonesia menerusi BPJS, dan Medicaid dan Medicare di AS.
Walaubagaimanapun, idea itu tidak terdengar sama sekali pasca kerajaan Perikatan Nasional dan apatah lagi ketika negara berdepan pandemic covid 19.
Boleh jadi ada benar juga ungkapan seorang pakar sektor awam untuk Asia Timur dan Asia Pasific Bank Dunia, Willy McCourt, bahawa sebuah kerajaan yang kuat secara majoriti di Parlimen seperti di era Perdana Menteri ke-4 akan mempengaruhi political will untuk melakukan perubahan drastik dan komprehensif (McCourt, 2013).
Siapa bayar kos sektor kesihatan Malaysia? Bagaimana doktor kontrak dibayar dan bila kerajaan akan mampu tanggung pembiayaan pengambilan doktor tetap?
Bersambung
Oleh: Hamdi Ibrahim, M.D