Bolehkah Parti Orang Muda Hidup Dalam Politik Malaysia?

Dunia politik Malaysia digegarkan lagi dengan pengumuman Syed Saddiq, bekas ketua pemuda Bersatu bahawa beliau tidak akan bergabung dengan parti Tun Mahathir, sebaliknya bakal menubuhkan parti baru yang berteraskan anak muda dan berbilang kaum.

Soalannya mampukah anak muda menerajui sebuah gerakan politik?

Sejarah politik Malaysia sebenarnya tidak asing dengan pimpinan berusia muda. Ramai daripada pimpinan nasional pada hari ini memegang tanggungjawab besar semenjak usia yang sangat muda.

  • Najib Razak menjadi Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun.
  • Lim Kit Siang pula diamanahkan tanggungjawab setiausaha organisasi DAP ketika baru berusia 25 tahun.
  • Hadi Awang menjadi Naib Presiden PAS semasa dirinya 36 tahun.
  • Manakala Azmin Ali pula pada umur 35 menjadi salah seorang pengasas Parti Keadilan.

Namun persoalan yang lebih besar ialah,

Bolehkah gerakan yang sepenuhnya diterajui anak muda hidup dan berjaya dalam politik Malaysia?

Walaupun figur-figur yang disebutkan tadi menjadi pimpinan semasa muda, namun parti mereka sendiri terdiri daripada ramai orang termasuk mereka yang lebih tua dan berpengalaman.

Hampir tiada parti yang ahlinya dari atas ke bawah diduduki orang-orang muda. Tetapi kalau kita selidik sejarah politik Malaysia, sebenarnya ada!

Parti itu adalah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diasaskan pada tahun 1945. Pengasasnya termasuk Mokhtaruddin Lasso (30) dan Ahmad Boestamam (20-an), demikian juga ahli-ahlinya berumur dalam julat 20-30an juga.

Parti ini walaupun bersemangat tinggi dan aktif memperjuangkan kemerdekaan, akhirnya diharamkan oleh British kerana dianggap radikal dan diserap unsur komunis.

Mungkinkah parti anak muda PKMM terlampau mentah dan dikuasai darah muda, sehingga kalah dengan pemain-pemain lain seperti UMNO yang lebih berpengalaman dalam sepak terjang politik Tanah Melayu?

Atau mungkinkah darah muda itu membawa mereka kepada ide-ide radikal yang tidak dapat diterima oleh masyarakat?

Parti baru ini wajar memperhatikan pengajaran-pengajaran daripada sejarah politik tanah air, kerana jika mereka dapat mengatasi kesilapan tersebut gerakan baru ini berpotensi memberi nafas segar kepada pentas politik Malaysia.

One thought on “Bolehkah Parti Orang Muda Hidup Dalam Politik Malaysia?

  • August 26, 2020 at 2:56 am
    Permalink

    Interesting read! Thanks for this 👍👏

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *