Almarhum Dr Siddiq Fadzil – Permata Ilmu dan Kesederhanaan

Setelah Almarhum Dr Muhammad Imarah, pemergian Almarhum Dr Siddiq Fadzil antara yang paling meruntun jiwa saya.

Saya anggap Almarhum antara ilmuan yang banyak mencorak cara fikir dan kefahaman saya.

Almarhum saya anggap sebagai antara ruwwad (pelopor) madrasah wasatiyah dan tajdid di nusantara pada masa kini serta ilmuan yang istiqamah dengan jalan islah menerusi pendidikan dan wacana keilmuan.

Pidato beliau yang bersahaja, dengan ucapan yang penuh hikmah dan bermutiara, kesantunan dalam ketegasan membuatkan kita seolah-olah dihidang dengan hidangan yang lazat.

Almarhum juga antara pemikir yang berjaya menggabungkan khazanah keilmuan timur tengah dan nusantara.

Penulisan beliau juga amat tajam menggambarkan penguasaan yang jitu terhadap perkara yang dibincangkan.

Beliau juga amat berkemahiran dalam menterjemah frasa berbahasa Arab ke dalam bahasa Melayu dengan amat baik (seperti halnya Za’ba), menggambarkan betapa kayanya kosa kata dan tatabahasa beliau.

Pada kesempatan ini juga, suka untuk saya kongsikan nota yang pernah saya catat dahulu dalam salah sebuah pidato beliau ketika mengulas berkenaan pemikiran Za’ba:

1. Punca utama kerosakan watak melayu adalah pencemaran akidah, kepercayaan karut, tahyul dan menyimpang dari tauhid yang murni dan tulen.

2. Ditambah dengan kerosakan oleh pemerintah zalim zaman feudal melayu. Melahirkan watak jiwa hamba / slave mentality (warisan penjajahan).

3. Punca kemiskinan pula bukan miskin harta akan tapi miskin otak dan watak menyebabkan ketinggalan dlm semua sektor kehidupan.

4. Budaya pembelajaran dan pendidikan agama yang tidak serius di masjid-masjid yang asyik selesa mengulang takah pembelajaran dan aktiviti yang sama sahaja dari dahulu sehingga kini, tetapi gagal mencapahkan skop ilmu sehingga ke ilmu tafsir, ilmu hadith, ilmu tasyri’, ilmu tarikh dan seumpamanya yang merupakan akar umbi pengajian Islam itu sendiri.

5. Pendidikan harus menekankan pembinaan watak / character building yg mampu mengubati kemiskinan watak / perangai “pendidikan untuk jadi orang” yakni insan dengan segala ciri2 khas iaitulah aspek moral, intelektual dan spiritual.

6. Masyarakat ilmu bersikap ilmuwan, hanya melayani fakta dan kebenaran, bukan melayani fitnah dan gosip.

7. Memilih kata yang sesuai, sopan santun bukan caci maki dan sumpah seranah.

8. Sifat malu dan tahu malu (menjaga maruah dan muru’ah), malu meminta-minta, malu jadi bangsa subsidi, malu berbaris minta bantuan. Ini banyak ditekankan dalam karya perangai bergantung pada diri sendiri.

9. Pemberdayaan bahasa, bahasa jati diri bangsa, penggunaan bahasa yg tepat, pelihara ketulenan bahasa.

10. Akhirnya, beliau menyifatkan Za’ba sebagai Pahlawan Islah dan Wira Budaya.

Damailah dikau duhai murabbi kami, sedang kami akan terus membawa dan menyebarkan segala curahan ilmu, bakti dan budi yang telah ditaburi sebagai bekalan di negeri abadi.

مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ رِجَالࣱ صَدَقُوا۟ مَا عَـٰهَدُوا۟ ٱللَّهَ عَلَیۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن یَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُوا۟ تَبۡدِیلࣰا

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Al-Ahzab: 23)

إنا لله و إنا إليه راجعون

Sumber: FB Furqan Abdullah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *