6 Peringatan Rasulullah SAW Terhadap Pemimpin

Hari ini kita bertemu dengan golongan yang begitu terkejar-kejar pangkat dan kepimpinan.
Kepimpinan itu perlu, tetapi sebelum (dan kalau sudah) menjadi pemimpin wajar sekali kita mengambil iktibar daripada 6 hadis berikut:
Hadis Pertama
Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya kalian akan bersungguh-sungguh menginginkan jawatan, sedangkan jawatan itu akan menjadi sesalan pada hari Kiamat (jika tidak dijalankan dengan baik).”
Riwayat Imam al-Bukhari
Hadis Kedua
Daripada Tamim ad-Dari R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
“‘Agama itu adalah nasihat.’ Kami (para sahabat) bertanya, ‘Kepada siapa, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Kepada Allah (dengan mentaatiNya), kitab Allah (dengan menuruti kandungannya), RasulNya (dengan mengikuti suruhannya), para pemimpin orang-orang Islam (dengan menegur dan menasihatinya), dan orang awam dalam kalangan mereka (dengan amar makruf, nahi mungkar).’”
Hadis Riwayat Imam Muslim
Hadis Ketiga
Daripada Ibnu Umar R.HUMA, beliau berkata, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
“Setiap orang daripada kalangan kalian adalah penjaga yang amanah dan setiap kalian juga akan bertanggungjawab ke atas orang bawahannya. Seorang pemimpin adalah penjaga yang amanah dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Seorang suami adalah penjaga yang amanah dalam keluarganya dan bertanggungjawab ke atas bawahannya. Seorang isteri adalah penjaga yang amanah dalam rumah tangga suaminya dan bertanggungjawab ke atas jagaannya. Seorang pelayan adalah penjaga yang amanah pada harta majikannya dan bertanggungjawab ke atas barang jagaannya. Setiap orang daripada kamu adalah penjaga yang amanah dan bertanggungjawab ke atas orang bawahannya.”
Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim
Hadis Keempat
Daripada Ma’qil bin Yasar R.A., beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Tidaklah seorang hamba yang diamanahkan oleh Allah ke atas sekumpulan manusia, lalu dia mati sedangkan dia melakukan penipuan terhadap mereka, melainkan Allah mengharamkan baginya syurga.”
Hadis Riwayat Imam al-Bukhari
Dalam riwayat lain Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
“Tidaklah seorang ketua yang menguruskan urusan-urusan kaum Muslimin, kemudian dia tidak bersungguh-sungguh (dalam memberi layanan) dan tidak menasihati mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka.”
Riwayat Muslim
Hadis Kelima
Daripada Abdullah bin Amr’ R.HUMA., beliau berkata, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil akan berada di atas tempat-tempat yang tinggi daripada cahaya di sisi Allah ialah: mereka yang berlaku adil dalam menetapkan keputusan, keluarga mereka, dan jawatan yang mereka pegang.”
Riwayat Imam Muslim
Hadis Keenam
Daripada Abu Dzar R.A;
“Saya berkata, ‘Wahai Rasulullah, mengapa tuan tidak mengangkat saya sebagai penjawat?’ Baginda menepuk bahu saya, kemudian bersabda, ‘Wahai Abu Dzarr, sesungguhnya kamu adalah seorang yang lemah (dalam pengurusan), sedangkan sesungguhnya ia (jawatan) merupakan suatu amanah, dan sesungguhnya ia adalah kehinaan dan penyesalan pada hari Kiamat, kecuali bagi sesiapa yang memangkunya dengan benar dan menunaikan kewajipannya pada jawatan tersebut.“
Hadis Riwayat Imam Muslim