3 Persoalan Besar untuk Parti MUDA

Tahniah YB Syed Saddiq atas permohonan penubuhan Parti MUDA, atau nama penuhnya Malaysian United Democratic Alliance.
‘To-do list‘ (senarai tugasan) sebuah parti baru tentu panjang dan beragam, namun ada beberapa persoalan yang kami lihat lebih penting dari yang lain.
1. Kerusi mana yang akan ditandingi?

Sebuah parti politik pasti punya cita-cita untuk bertanding dan menang pilihanraya. Ada yang menyamakan parti MUDA seperti ‘En Marche’ di Perancis dan Syed Saddiq seperti Emmanuel Macron.
Pada pilihanraya Perancis yang lepas, Macron menarik undi daripada golongan yang kecewa dengan parti sedia ada sehingga menjadi Presiden.
Namun sistem di Malaysia bukan seperti Perancis, di mana dua calon bertanding dan yang paling popular menjadi Presiden. Dalam sistem Malaysia mereka yang menang di Parlimen akan menjadi pemerintah.
Parlimen mana yang akan jadi sasaran MUDA? Kami agak parlimen di kawasan bandar/separa bandar yang ada peratus pengundi muda yang ramai dan berbilang kaum. Pastinya bukan di FELDA atau kawasan pedalaman.
2. Apa struktur parti MUDA?

Setakat yang kita tahu ada 13 orang yang telah menjadi jawatankuasa penaja parti MUDA. Tapi untuk bertanding pilihanraya mereka memerlukan ramai orang menjadi penggerak bawahan di samping pimpinan, dan kebanyakan parti di Malaysia ada struktur yang lengkap sehingga ke peringkat cawangan yang terkecil.
Adakah parti MUDA mengikut struktur kawasan & cawangan ini, ataupun menjadi parti yang lebih berpusat (centralized) dan fokus di peringkat pusat dan negeri?
Persoalan yang besar bagi parti ini ialah
a) Menjadi parti akar umbi (seperti UMNO/PAS) yang mengakar sehingga ke kawasan yang terkecil, dan mementingkan perwakilan dalam pemilihan pimpinan, atau
b) Menjadi parti massa (seperti PKR) yang tidak kuat di akar umbi tetapi mengikut gelombang semasa. Perwakilan tidak penting kerana setiap ahli ada hak memilih pimpinan.
Jika mereka memilih menjadi parti akar umbi, cukupkah ahlinya? Dan jika ahli tidak ramai, mampukah mereka ‘membesarkan bayang’ (melalui media, menjuarai isu dan ketokohan) sehingga tidak perlu bergerak di peringkat akar umbi? Jentera parti manakah yang akan mereka pinjam sekiranya bertanding?
3. MUDA akan berpakat dengan siapa?

Kalau fokus adalah kerusi-kerusi bandar, MUDA sukar menjadi kerajaan secara sendiri. Pastinya perlu berpakat. Di sini wujud persoalan yang besar; siapa rakan yang akan berpakat dengan mereka?
Kalau dilihat kecenderungan sedia ada, kemungkinan bukan dengan Perikatan Nasional. Tapi kalau berpakat dengan PH pula mereka akan berselisih dengan PKR yang mensasar kerusi yang profailnya sama. Jika tidak ada kata sepakat dalam pembahagian kerusi, pakatan itu berkemungkinan tidak akan kekal lama.
Ataupun jika MUDA telah mengambil suhu politik negara dengan cermat dan mengagak bahawa sokongan anak muda cukup untuk melambungkannya ke Parlimen, mungkin parti itu akan bergerak solo dahulu dan setelah menang menjadi ‘kingmaker’ dalam membentuk pakatan baru.
Ini tiga persoalan besar untuk parti baru dan cara mereka menjawabnya akan mewujudkan dinamika yang baharu dan menarik dalam politik tanah air.